Tuesday, September 7, 2021

, , ,

SCAMMER - SKIM CEPAT KAYA SIMPAN EMAS TOK BELAGAK YANG AKHIRNYA RAMAI BERGADAI

SCAMMER - SKIM CEPAT KAYA SIMPAN EMAS TOK BELAGAK YANG AKHIRNYA RAMAI BERGADAI

Tok Belagak adalah nama yang tidak asing lagi bagi orang Melayu suatu ketika dahulu. Jika anda masih ingat insan inilah yang melahirkan ramai Melayu yang kaya sekelip mata dan Melayu yang papa kedana sekelip mata.

Darul Emas Perak Berhad atau DEPB iaitu sebuah syarikat pelaburan emas yang pernah menggegarkan dunia pelaburan emas di Malaysia suatu ketika dahulu. Tidak hairanlah jika aada yang mengatakan bahawa skim pelaburan syarikat tersebut telah melahirkan ramai ‘Jutawan senyap’ rata-rata dari kalangan anak melayu kita di Malaysia.

DEPB dimiliki oleh Hanarudin Baharudin atau lebih dikenali ramai sebagai Tok Belagak, pakar manipulasi Emas telah memulakan skim pelaburan emas awal tahun 2013 (atau mungkin sebelum itu lagi) yang menjanjikan keuntungan bulanan yang lumayan kepada pelabur. Beliau juga aktif menganjurkan seminar pelaburan emas bermula sekitar tahun 2013.

Pelaburan DEPB berkembang dengan begitu pantas dengan dibantu oleh ejen-ejen yang dilantik yang digelar sebagai “Wakalah”.

Terdapat beratus-ratus Wakalah di bawah DEPB dan angka itu mungkin lebih tinggi jika diambil kira Wakalah yang tidak berdaftar dengan DEPB.

Skim pelaburan ini menjadi semakin popular dengan tersiarnya video temuramah pengelola skim pelaburan emas, Tok Belagak dengan Astro Awani yang membuatkan lebih ramai lagi pelabur mempercayai skim pelaburan emas anjuran DEPB.

https://youtu.be/r7eb6AD1YYk

*boleh lihat video di youtube


Dipetik dari temuramah tersebut, Tok Belagak menyatakan bahawa beliau mempunyai kapasiti emas sebanyak ‘3 Tan’ dan tambahan ‘0.5 Tan’ barang kemas di bawah syarikat beliau. Ramai pelabur-pelabur ketika ini melonjak gembira dan memuji-muji kejayaan beliau sehinggakan menarik pula rakan-rakan dan ahli keluarga untuk turut serta dengan pelaburan yang menampakkan hasil begitu pantas ini. Lebih menyedihkan, ramai pelabur-pelabur yang sanggup membuat pinjaman bank, ‘personal loan’, meminjam dari ‘ah-long’, mencagar tanah, harta dan sebagainya hanya untuk mendapatkan sejumlah wang yang besar untuk dilaburkan di dalam skim pelaburan emas ini.

Pada bulan Oktober 2014, pengelola skim pelaburan emas DEPB telah mengeluarkan kenyataan dimana skim pelaburan mereka terpaksa dihentikan atas sebab tidak mematuhi parameter-parameter syariah. Di dalam kenyataan tersebut, Tok Belagak juga menyatakan bahawa pihak DEPB akan memulangkan pelaburan yang akan disalurkan melalui ejen-ejen (Wakalah) mereka secara berperingkat bermula dari penghujung 2014.


Pada ketika ini, pelabur-pelabur mula tersedar bahawa mereka telah tertipu dan mula berang, menyerang laman sosial Tok Belagak, ‘page’ dan ‘group’ yang berkaitan. Tok Belagak ketika ini dengan begitu yakin dan berani berdepan dengan kemarahan pelabur-pelabur dengan memberi jaminan bahawa semua wang pelaburan mereka akan dikembalikan. Ada dikalangan pelabur yang mengugut ingin membuat laporan polis dan Bank Negara Malaysia namun dengan bijaknya Tok Belagak menyatakan bahawa jika mereka berbuat demikian, besar kemungkinan wang pelaburan mereka tidak dapat dikembalikan kononnya akibat campurtangan pihak berkuasa.


Ramai pelabur akhirnya membuat keputusan untuk hanya terus menunggu wang mereka dikembalikan. Ada yang mengatakan ‘Dapat balik modal separuh pun jadilah’, ‘Tak dapat duit, bagi balik jumlah emas yang kami beli’ dan banyak lagi keluhan, harapan, dan kemarahan yang dilontar tetapi tidak mendatangkan kesan.


Apa Tindakah Dari Pihak Berkuasa?

Pada penghujung September 2016, Tok Belagak telah ditahan polis atas sebab menjadi dalang sindiket penipuan pelaburan emas. Tok Belagak yang ketika itu berusia 51 tahun ditahan polis setelah menerima laporan daripada seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit dengan nilai kerugian RM80,900.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata pengadu mendakwa mengetahui mengenai pelaburan emas itu melalui laman sosial Facebook pada Ogos 2014 dan diperkenalkan kepada syarikat milik suspek oleh seorang ejen.

“Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu kemudian menyerahkan wang pelaburan berjumlah RM80,900. Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak mendapat emas seperti nilai yang dilaburkan dalam tempoh yang dijanjikan.

Dimanakah Tok Belagak Sekarang?

Ramai yang tertanya-tanya apakah kesudahan kes ini? Dan masih ramai lagi yang berharap mendapat pulangan wang pelaburan mereka. Namun bertahun lamanya, tiada sebarang berita. Semakin lama isu ini semakin dilupakan, sudah tidak hangat diperkatakan. Disebalik harapan yang masih tersimpan, semoga ini menjadi pengajaran kepada kita semua bahawa tiada jalan mudah untuk mencapai kekayaan segera. Akhirnya kita menderita, Tok Belagak entah di mana.

Ada yang pernah hantar gambar di laman sosial kelibat Tok Belagak dilihat menjadi ‘taukey’ restoran sekarang? Ada yang cakap beliau masih aktif menjual emas untuk mencairkan modal-modal pelabur. Ada yang cakap beliau dalam penjara. Yang mana satu betul? Jom kongsi di bahagian komen, agar semua orang dapat baca perkembangan isu ini.


Pengajaran Dari Kisah Ini

Tiada jalan pintas untuk menjadi kaya. Orang yang tamak selalunya rugi. Lihatlah berapa ramai yang menjadi mangsa “sontot” emas dari DEPB ini. Ada yang masih menanggung beban hutang sehingga sekarang disebabkan sifat tamak mahu kaya cepat(majoriti buat pinjaman peribadi).


*sumber - https://www.blogammar.com/masih-ingatkah-tok-belagak/

Share:

0 comments:

Post a Comment