Monday, July 18, 2016

,

Sepuluh Projek Mega Kuala Terengganu

SEPULUH PROJEK MEGA YANG AKAN MENGUBAH KUALA TERENGGANU

Rujukan dari facebook : facebook.com/BandarayaKT

Bandaraya Kuala Terengganu pada hari ini cukup berbeza jika dibandingkan dengan sepuluh tahun yang lalu. Pelbagai projek mulai dibawa masuk oleh kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandaraya dalam erti kata yang sebenar.

Paling dinantikan oleh rakyat Terengganu selama ini adalah pembinaan pusat-pusat membeli belah moden yang bertaraf mall, pusat riadah dan hiburan, selain tarikan-tarikan pelancongan yang mampu memberikan suntikan ekonomi yang lebih baik buat rakyat negeri ini.

Artikel ini akan menyorot sepuluh projek mega yang sedang berjalan di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu pada hari ini. Dijangka apabila kesemua projek ini siap kelak, landskap bandaraya Kuala Terengganu akan berubah sama sekali.


1. PB Square

Projek setinggi 19 tingkat ini sudah pun menjadi mercu tanda baru di tengah-tengah bandaraya ini. Dijangka beroperasi pertengahan tahun 2014, projek ini sudah pun hampir 80% siap.

Antara komponen yang terdapat di PB Square ini termasuklah sebuah mall, hotel dan blok pejabat untuk LHDN Negeri Terengganu.


2. PB Sentral

Berhadapan dengan projek PB Square di Jalan Embong Fatimah, projek PB Sentral adalah merupakan projek parkir kereta bertingkat yang turut menempatkan kompleks wayang (cineplex) dan pusat hiburan lain yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat Terengganu selama ini.

Projek ini dalam kerja-kerja tanah dan sudah 15% siap. Difahamkan, projek ini akan turut dihubungkan ke PB Sentral melalui sebuah jejantas.


3. Mydin Mall Gong Badak

Sekiranya anda menghala ke Jalan Pantai dari Bulatan Batu Enam ke Utara Terengganu, pastinya anda akan melihat satu projek besar di sebelah Sekolah Teknik Wakaf Tembesu.

Untuk pengetahuan, Mydin Mall kedua di negeri Terengganu berkeluasan 250 000 kaki persegi sedang dibina dan dijangka siap tahun hadapan.

Di sebelah projek ini, projek perkedaian skala besar dikenali sebagai Dataran Austin juga telah siap sepenuhnya dan dijangka akan beroperasi awal tahun hadapan.


4. KTCC Mall

Projek KTCC Mall bakal dibina awal tahun hadapan. Walaubagaimanapun, kerja-kerja tanah dan infrastruktur asas untuk projek ini telah dimulakan.

KTCC Mall bakal menjadi pusat belah terbesar di Kuala Terengganu apabila siap kelak. Mall ini yang menghadap Laut China Selatan juga turut dilengkapi dengan menara hotel.

Berhampiran dengan KTCC Mall ini juga akan dibina sebuah pangsapuri mewah iaitu Myra Infinity yang bakal dibangunkan oleh Austin Heights Sdn Bhd


5. Icon Residence

Terletak di Jalan Sultan Omar (berhadapan dengan SK Sultan Sulaiman), projek kediaman kondominium mewah setinggi 25 tingkat ini bakal dirasmikan pecah tanahnya tidak lama lagi.

Walaubagaimanapun, kerja-kerja tapak untuk projek ini telah dimulakan oleh pemaju iaitu VST Gemilang Sdn Bhd. Projek ini juga merupakan satu inisiatif oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.


6. Kuala Terengganu Specialist Hospital

Dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri Terengganu iaitu TDM Berhad, KTS adalah merupakan hospital swasta pertama di Kuala Terengganu yang sekarang ini beroperasi di Jalan Kamarudin.

Sebuah kompleks hospital KTS yang baharu sedang giat dibina setinggi lapan tingkat di Batu Buruk. Apabila siap kelak, ia dijangka menjadi sebuah hospital yang moden dan canggih serta mampu mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah sekarang.


7. Jambatan Lipat (drawbride)

Jambatan yang bakal dibina pada tahun 2014 ini adalah merupakan jambatan angkat (drawbridge) yang pertama di Malaysia.

Ia menyerupai jambatan london yang terkenal iaitu London Tower Bridge. Bakal dibina di muka kuala Sungai Terengganu, jambatan ini akan menghubungkan Bandaraya Kuala Terengganu terus ke Seberang Takir melalui kawasan KTCC yang dinamakan sebagai Muara Utara (kawasan Seberang Takir) dan Muara Selatan (kawasan Tanjung)

Apabila siap kelak, ia mampu mengatasi masalah kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud pada masa ini dan menghubungkan terus Aiport ke Bandar tanpa perlu melalui kawasan perkampungan di Seberang Takir dan Duyong.


8. Menara MBKT

Bakal dibina tahun hadapan, Menara MBKT setinggi 30 tingkat akan menjadikannya antara bangunan yang tertinggi di Kuala Terengganu apabila siap kelak. Menara ini akan dibina menghadap Laut China Selatan di kawasan Muara Selatan dan merupakan sebahagian daripada projek KTCC.


9. Pembangunan Semula Pasar Payang

Pembangunan semula pasar payang dijangka akan dibuat dalam masa terdekat sebelum menyelesaikan beberapa isu berbangkit terutamanya berkaitan dengan para peniaga. Kerajaan negeri bercadang untuk mengubah imej Pasar Payang supaya menjadi moden, teratur dan lebih selesa untuk para pengunjung. Sebuah hotel dikatakan turut dibina bersekali dengan projek ini.


10. Pulau Warisan Fasa II

Sejak pertengahan tahun ini, kerja-kerja penyambungan projek Pulau Warisan untuk fasa kedua sedang giat dijalankan. Antara komponen projek ini termasuklah membina jalan baharu bagi mengatasi kesesakan di hadapan Pasar Payang serta membina jeti baru yang lebih selesa ke Pulau Redang
Share:

0 comments:

Post a Comment