Tuesday, January 31, 2023

BERITA BAIK UNTUK PEMINAT SUKAN BOLA SEPAK TANAHAIRKU MALAYSIA


MFL UMUM ASTRO DAN RTM SELAKU RAKAN PENYIAR RASMI LIGA MALAYSIA 2023

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan dua stesen televisyen terkemuka tempatan, Astro dan RTM selaku rakan penyiar rasmi Liga Malaysia 2023.

Penglibatan Astro dan RTM ini bakal menjanjikan siaran perlawanan serta liputan yang lebih komprehensif bagi Liga Malaysia musim ini demi kepuasan tontonan peminat tanah air.

Semua perlawanan yang akan disiarkan oleh Astro dalam definisi tinggi (HD) meliputi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia boleh di tonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.

Manakala RTM pula akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 merangkumi beberapa saingan termasuk Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik.

Menurut Presiden MFL Dato’ Ab Ghani Hassan, kehadiran Astro dan RTM bakal menambah kemeriahan musim baharu Liga Malaysia 2023 yang akan bermula 24 Februari depan dengan aksi pembuka tirai Perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.

“Saya percaya, dengan sokongan dan komitmen rakan penyiar tempatan, ia bukan hanya demi kepuasan kualiti tontonan peminat-peminat tanah air malah ia dapat meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia yang akhirnya akan memberikan pulangan besar buat pasukan serta pemain.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, gandingan Astro dan RTM selaku rakan penyiar Liga Malaysia musim ini bakal memenuhi kehendak peminat-peminat tempatan yang mahukan satu liputan menyeluruh dan menarik.

“MFL percaya dua rakan penyiar ini berkongsi objektif dan fokus mengenai kandungan yang penting jadi kami telah menemui rakan kongsi terbaik untuk membina semula jenama dan impak Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi. Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Astro dan RTM dalam bidang penyiaran sukan, kami berharap ia dapat memenuhi jangkaan dan harapan semua  peminat-peminat,” katanya.
#LigaMalaysia2023

6 comments: